Skip to main content

Advertisement

Berita

Astro Audio News & Traffic Pertahan Pingat Perak HKM MPI-PETRONAS 2025, Bukti Konsisten Kualiti Kewartawanan Radio

Astro Audio News & Traffic terus membuktikan kecemerlangannya dalam dunia kewartawanan radio apabila berjaya mempertahankan pingat perak menerusi wartawannya, Nicholas John, dalam kategori Liputan Radio Terbaik di Hadiah Kewartawanan Malaysia (HKM) MPI-PETRONAS 2025.

Pencapaian ini sekali gus mengukuhkan reputasi Astro Audio News & Traffic sebagai antara peneraju kewartawanan radio negara yang konsisten menghasilkan laporan berkualiti, berimpak dan dipercayai.

Advertisement

HKM MPI-PETRONAS 2025 merupakan antara anugerah kewartawanan paling berprestij di Malaysia yang mengiktiraf hasil kerja terbaik pengamal media menerusi 21 kategori yang dipertandingkan. Majlis berkenaan menghimpunkan kira-kira 1,000 tetamu terdiri daripada ketua pengarang, editor, wartawan, pengamal media, wakil kementerian dan agensi kerajaan, syarikat korporat, institusi pengajian tinggi serta rakan strategik industri media.

Majlis penyampaian anugerah telah disempurnakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, dan turut dihadiri Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil.

Ketua Operasi Astro Audio News & Traffic, Moganadas Muniandy, menyifatkan kejayaan mempertahankan pingat perak di pentas berprestij itu sebagai satu pencapaian yang membanggakan buat seluruh pasukan.

Menurut beliau, meskipun sasaran utama adalah untuk memperbaiki pencapaian tahun lalu dengan membawa pulang trofi emas, kejayaan Nicholas John mempertahankan kedudukan sebagai pemenang pingat perak bukanlah sesuatu yang mudah.

“Walaupun sasaran awal adalah untuk memperbaiki pencapaian pada tahun lalu sekaligus menang trofi emas, kami tetap bangga dengan kejayaan Nick kerana bukan mudah untuk mengulangi pencapaian di pentas berprestij seperti HKM ini.

“Kejayaan ini membuktikan komitmen berterusan pasukan Astro Audio News & Traffic dalam menghasilkan laporan yang berkualiti, berimpak serta relevan kepada pendengar di seluruh negara,” katanya.

Beliau turut berharap pengiktirafan tersebut menjadi pembakar semangat kepada seluruh warga Astro Audio News & Traffic untuk terus memperkukuhkan standard kewartawanan radio serta menghasilkan karya yang mampu bersaing dengan organisasi media terbaik di negara ini.

“Saya berharap warga Astro Audio News & Traffic akan terus menghasilkan karya-karya berkualiti yang mampu menandingi media lain pada tahun-tahun mendatang, selain terus mengangkat standard kewartawanan radio ke tahap yang lebih tinggi,” tambah beliau.

Kejayaan kali ini meneruskan momentum cemerlang yang dicatatkan Astro Audio News & Traffic pada edisi HKM sebelumnya. Tahun lalu, unit itu turut membawa pulang pingat perak menerusi Nicholas John dan pingat gangsa menerusi Najib Nazri, masing-masing dalam kategori Liputan Radio Terbaik.

Sebagai unit berita dan trafik di bawah Astro Audio, Astro Audio News & Traffic memainkan peranan penting dalam membekalkan laporan berita, trafik dan perkembangan semasa kepada rangkaian stesen radio di bawah Astro Audio termasuk ERA, HITZ, MIX, RAAGA, SINAR, MELODY, GOXUAN dan ZAYAN.

Dengan komitmen menyampaikan laporan yang tepat, pantas dan boleh dipercayai kepada jutaan pendengar setiap hari, kejayaan mempertahankan pingat perak di HKM MPI-PETRONAS 2025 menjadi bukti bahawa usaha berterusan Astro Audio News & Traffic dalam memperkukuhkan standard kewartawanan radio terus mendapat pengiktirafan di peringkat nasional.

SINAR Muzik Retro Terbaik